PENGENALAN
Aktiviti pembuatan, pengendalian penjualan dan pelupusan bahan-bahan penerbitan serta perhiasan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran berlaku dengan begitu pantas dan meluas. Bahan-bahan tersebut boleh didapati dalam pelbagai kegunaan, antaranya dalam bentuk penerbitan bercetak seperti buku, suratkhabar, majalah, cenderamata, bahan perhiasan, gambar berbingkai, cakera optik termasuk CD, VCD, DVD, pita kaset dan memori kad, pelekat (sticker), poster, kain rentang, pakaian, dan ukiran pada jubin lantai yang melibatkan premis-premis seperti kedai, pasar raya besar, gerai pasar malam, pejabat dan sebagainya.
Sebagaimana dimaklumi, Lembaga Teks Al-Quran telah ditubuhkan menerusi Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 bertujuan untuk memelihara kesucian al-Quran daripada diperalatkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, juga untuk menyeragamkan ras al-Quran. Telah dipersetujui hanya “rasm Uthmani riwayah hafas “ dijadikan sebagai rasm yang akan digunakan oleh masyarakat Islam di negara ini. Sehubungan itu al-Quran selain daripada “rasm Uthmani riwayat hafas” seperti rasm Imla’ie, al-Quran yang lusuh, koyak dan sebagainya yang tidak boleh digunakan lagi hendaklah dilupuskan.

Gambar 1 : Longgokan buku-buku yang mengandungi ayat-ayat al-Quran
Islam membenarkan pelupusan teks dan bahan al-Quran yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang telah rosak atau tidak boleh dibaca ini lagi. Ianya bertujuan bagi menjaga supaya kemuliaannya sentiasa terpelihara. Sesungguhnya ia amat menepati sepertimana firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 91 yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya “ .
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-30 yang bersidang pada Ogos
1992 telah memutuskan bahawa :
i) Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan rasm Uthmani hendaklah dilupuskan
ii) Kaedah pelupusan ialah dibakar dan ditanam di tempat yang terkawal
iii) Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada Urus Setia atau
Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri. Ia dilakukan dengan cara tersembunyi demi mengelakkan salahfaham orang ramai.


Gambar 2 : Longgokan buku-buku teks yang mengandungi ayat-ayat al-Quran
TAFSIRAN
Dalam garis panduan ini, melainkan jika konteksnya mengenai makna yang lain:
i) “Pembuatan” bermaksud perihal (kegiatan, usaha dsb) membuat.2 Ia termasuklah aktiviti merekabentuk, menulis, mencetak, menerbit, mengilang, menjilid, mengukir dan menempa yang bertujuan menghasilkan sesuatu bahan penerbitan atau barangan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.
ii) “Pengendalian” bermaksud perihal mengendalikan (mengekang, menguasai, mengurus, dll)3. Ia termasuklah pengurusan iaitu meliputi kegiatan memperaga, mempamer, meletak, menyimpan, memegang, membungkus, mengedar dan menghantar bahan-bahan yang mengandungi kalimah ayat suci al-Quran.
iii) “Penjualan” bermaksud perbuatan (kerja) menjual 4. Ia termasuklah proses jual beli yang juga meliputi aktiviti- aktiviti import-eksport, memperaga, mempamer, meletak, mengendali, memegang, membungkus, mengiklan, bahan- bahan yang mengandungi kalimah ayat suci al-Quran.
iv) “Ayat al-Quran” ertinya meliputi mana-mana bahagian ayat al-Quran dalam bahasa Arab.5
v) “Bahan al-Quran” ertinya sesuatu dokumen yang mengandungi mana-mana ayat al-Quran selain daripada suatu ‘teks al-Quran’ sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen ini.6
vi) “Teks al-Quran” ertinya sesuatu dokumen yang mengandungi teks bahasa Arab yang lengkap bagi al-Quran atau mana-mana bahagiannya yang mengandungi satu juzu’ atau lebih sama ada dengan terjemahan atau tafsiran atau tidak, mengikut mana-mana yang berkenaan .7
vii)“Dokumen” ertinya apa-apa hal yang dinyatakan, diperhatikan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua pun peranti lain, dengan menggunakan:
a) Huruf, angka, tanda, simbol, isyarat, lambang, atau apa jua pun bentuk pernyataan, perihalan, atau gambaran lain;
b) Apa-apa rakaman tampak ( sama ada imej kaku atau bergerak );
c) Apa-apa rakaman bunyi, atau apa-apa jua pun rakaman elektronik, magnetik, mekanikal atau rakaman lain dan walau bagaimana jua pun dibuat, atau apa-apa bunyi, dedenyut elektronik atau apa jua pun data lain;
d) Suatu rakaman, atau pemancaran dari suatu jarak, apa-apa hal dengan mana-mana, atau apa-apa gabungan, cara yang disebut dalam perenggan (a),( b) dan (c).8
e) Atau dengan lebih daripada satu cara yang disebut dalam perenggan (a), (b), (c) dan (d), yang dimaksudkan untuk digunakan atau yang mungkin digunakan bagi tujuan menyatakan, memperihalkan, atau dengan apa jua cara sekalipun menggambarkan hal itu ;
viii) “Premis-premis” bermaksud bangunan dan kawasan tempat diuruskan perniagaan dsb. 9 Ia termasuklah mana-mana tempat, kedai-kedai, pasaraya besar, gerai ekspo, pasar malam termasuk kilang, bengkel, setor penyimpanannya, kereta, kapal, kapal terbang dan seumpamanya.
ix) “Pelupusan” bermaksud perihal (perbuatan dsb) melupuskan10 .Ia termasuklah mentiadakan atau memusnahkan bahan-bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran.
PANDUAN PENGURUSAN PELUPUSAN AYAT-AYAT SUCI AL-QURAN
Panduan ini dibahagikan kepada empat ( 4 ) pecahan supaya ia lebih mudah diikuti dan difahami iaitu :
i) Pembuatan
ii) Pengendalian
iii) Penjualan
iv) Pelupusan
i) Pembuatan
Semua aktiviti berkaitan dengan pembuatan bahan-bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran hendaklah;
a) Orang yang membuat urusan pembuatan adalah orang Islam seperti menjilid, filem, dan sebagainya.
b) Ayat yang dicetak hendaklah diambil daripada al-Quran mashaf Rasm Uthmani dan mengikut kaedah seni khat yang betul.
c) Dilakukan di tempat yang bersih dan terkawal daripada pencemaran najis.
d) Menggunakan bahan-bahan pembuatan serta alat-alat yang bersih dan suci mengikut hukum syarak.
e) Tidak terdedah daripada kemungkinan dilangkah atau dipijak seumpama diletakkan di atas lantai.
f) Menyediakan tempat pembuangan yang khas untuk dilupuskan.
g) Dilarang mencetak ayat al-Quran di akhbar-akhbar, penggantung kunci ( key chain ), kasut, baju, kad ucapan, kad undangan perkahwinan, jubin, cakera padat (VCD) dan seumpamanya kerana dikhuatiri tidak dapat menjaga kesuciannya sekalipun untuk tujuan pengiklanan.
h) Dilarang menulis tulisan selain daripada bahasa Arab.
i) Dilarang menulis atau membentuk ayat-ayat suci al-Quran berbentuk binatang, manusia, bangunan, alat permainan seperti wau, tumbuhan, bunga-bungaan dan seumpamanya.
ii) ) Pengendalian
Semua aktiviti berkaitan dengan pengendalian bahan-bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran hendaklah;
a) Dilakukan oleh orang yang beragama Islam.
b) Bahan / Teks yang mengandungi ayat-ayat al-Quran tidak boleh dilangkah atau diletakkan di atas lantai atau tempat yang terdedah kepada cuaca yang boleh merosakkan seperti hujan.
c) Diletakkan di tempat yang khas dan tidak boleh ditindih dengan bahan- bahan lain yang boleh mencemarkan kesuciannya.
d) Bagi menyentuh dan membawa mashaf al-Quran yang lengkap, pengendali hendaklah mempunyai air sembahyang
( berwuduk ) serta tidak berhadas besar kecuali al-Quran dalam format cakera optik seperti CD, VCD, Braille dan paparan skrin telefon bimbit.
e) Menanggung dan menyentuh mushaf bersama tafsirannya tanpa mempunyai air sembahyang tidak menjadi haram sekiranya tafsirannya lebih banyak. Jika tafsiran itu sama banyak, atau tafsirnya sedikit atau diragukan mana yang lebih banyak di antara ayat-ayat al-Quran atau tafsirannya, maka adalah haram menyentuhnya. Ulama juga menggariskan kedudukan antara mushaf dan tafsir dalam mengukur banyak sedikitnya. Ketika menanggungnya yang diambil kira ialah jumlah al-Quran dan tafsirnya.
Manakala dalam perkara menyentuh, yang perlu diperhatikan ialah tempat di mana ia meletakkan tangannya. Jika pada tempat itu tafsirnya lebih banyak, tidak haram menyentuhnya, tetapi jika al-Quran lebih banyak, haram menyentuhnya.
f) Barang yang mengandungi ayat-ayat al-Quran seperti dalam bentuk cakera optik tidak boleh dibawa ke tempat yang jijik dan tercemar seperti tandas dan seumpamanya bagi menjaga kesucian al-Quran.
g) Bungkusan yang mengandungi bahan al-Quran hendaklah dilabel bertanda ”ADA MENGANDUNGI AYAT SUCI AL-QURAN”.
h) Pengiriman al-Quran melalui pos hendaklah secara berdaftar dan dibungkus serta dibalut dengan sempurna. Untuk menjaga keselamatan dan kesucian al-Quran, maka pengiriman melalui pos tidak digalakkan.12
i) Orang-orang bukan Islam adalah diharamkan, tidak boleh menulis, mengukir, membentuk, mempamerkan dan menjual barang-barang yang mengandungi ayat-ayat al-Quran. 13
iii) Penjualan
Semua aktiviti berkaitan dengan penjualan bahan-bahan yang mengandungi ayat- ayat suci al-Quran hendaklah:
a) Dilakukan oleh orang yang beragama Islam sahaja.
b) Penjualan bahan-bahan gunaan dan hiasan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran perlulah mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) atau Jabatan Agama Islam Negeri ( JAIN ).
c) Tidak terdedah daripada kemungkinan dilangkah atau dipijak seperti diletakkan di atas lantai atau seumpamanya.
d) Bagi menyentuh dan memegang bahan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran secara lengkap, pengendali hendaklah mempunyai air sembahyang serta tidak berhadas besar.
e) Tidak diperagakan berhampiran dengan bahan-bahan jualan yang dilarang dalam ajaran Islam seperti patung, bahan tidak bermoral, bahan yang menjolok mata atau dianggap boleh merendahkan kemuliaan ayat suci al- Quran.
f) Setiap barang jualan hendaklah dibungkus dengan sempurna dan tidak menggunakan kertas atau bahan yang mengandungi tulisan atau gambar.
g) Dilarang membungkus bahan-bahan jualan dengan apa-apa kertas yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.
h) Pengimport atau pengeksport hendaklah beragama Islam.

Gambar 3 : Al-Quran yang telah lusuh dan koyak
iv) Pelupusan
Semua aktiviti berkaitan dengan pelupusan bahan-bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran hendaklah:
a) Bahan buangan atau lebihan yang mengandungi huruf atau ayat-ayat suci al-Quran hendaklah dilupuskan secara berasingan daripada bahan-bahan lain serta dilarang menggunakannya semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.
b) Kaedah pelupusannya sama ada secara pembakaran atau ditanam. Al- Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan yang bukan rasm Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan adalah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam di tempat yang dikawal.14
c) Cara pembakaran adalah seperti berikut:
- Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendaklah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar
- Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang telah dibakar hendaklah dipastikan dikumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah-sepah
- Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam di tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut atau sungai yang mengalir airnya
- Kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawalselia oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) atau Jabatan Agama Islam Negeri atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut
- Termasuk juga dalam garis panduan ini ialah hadis-hadis nabi dan doa-doa yang mengandungi gabungan ayat-ayat suci al-Quran atau nama-nama Allah di dalamnya.
d) Manakala bagi pelupusan buku teks Pendidikan Islam secara kitar semula( recycle ) adalah diharuskan dengan syarat-syarat berikut 15:
Kerja-kerja pengkitaran semula buku-buku teks Pendidikan Islam seelok-eloknya dilakukan oleh syarikat
yang dimiliki oleh orang Islam. Pekerja yang terlibat dalam proses pengkitaran semula hendaklah terdiri daripada orang Islam. Kertas dan buku teks Pendidikan Islam yang dikitar semula hendaklah tidak digunakan untuk membuat bahan-bahan yang tidak sesuai seperti kertas tandas dan sebagainya. Bahan-bahan kimia yang digunakan dalam proses pengkitaran semula hendaklah tidak mengandungi bahan najis.
KESIMPULAN
Panduan ini diharapkan dapat dijadikan sebagai satu sumber rujukan dalam melaksanakan pelupusan bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran. Walaupun ia diterangkan secara ringkas namun moga-moga ia menjadi manfaat besar kepada semua yang terlibat dalam aktiviti pembuatan, pengendalian, penjualan dan pelupusan bahan-bahan penerbitan dan perhiasan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran ini.
RUJUKAN
Kamus Dewan (Edisi Ketiga). 1998. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Akta Percetakan Teks Al-Quran. Semua Pindaan Hingga Disember. 2009 (Akta 326). 2009.
Kuala Lumpur: MDC Publishers Sdn Bhd.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 2009. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Kuala Lumpur: Visual Print Sdn. Bhd.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 2001. diterjemah. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada
Pengertian Al-Quran cetakan kedua belas. Kuala Lumpur: Darul Fikir
Sebarang pertanyaan , bolehlah menghubungi :
Bahagian Penyelidikan
Jabatan Agama Islam Melaka
No. 55, Jalan KPAA 2,
75400 Bukit Palah, Melaka
Tel : 06-33333333 samb 3622
Faks : 06-2882352