Ahad, 6 Disember 2020

Ulasan Tema Tahun Maal Hijrah 1442H

UMMAH RABBANI NEGARA HARMONI

 

Berdepan dengan kemelut ketidaktentuan situasi seluruh dunia saat ini, sama ada dari aspek ekonomi, kesihatan, hubungan antara kaum dan sebagainya, dunia menyaksikan berlaku satu perubahan yang mendadak terhadap gaya hidup masyarakat. Perubahan atau penghijrahan yang istimewa ini sudah pasti membawa kepada kebaikan yang tujuan akhirnya adalah memenuhi matlamat maqasid syar’iyyah iaitu menjaga nyawa manusia itu sendiri. Berlaku perubahan amalan sosial yang selama ini diamalkan oleh masyarakat kesan daripada anjakan paradigma terhadap kebangkitan sosio budaya norma baharu, daripada budaya interaksi komunikasi umum sesama anggota masyarakat termasuklah amalan bersalaman, urusan kekeluargaan, peralihan norma suasana kerja dan lain-lain.

 

Peristiwa hijrah yang disambut saban tahun pastinya akan lebih bermakna dengan perubahan sebegini istimewa. Ia akan tetap relevan dikaitkan dengan konteks ruang dan waktu sekarang ataupun pada masa akan datang. Yang pastinya nilai-nilai yang terkandung dalam peristiwa hijrah ini akan sentiasa dijadikan sebagai rujukan kehidupan ummat zaman berzaman. Berasaskan cinta kepada Allah dan rasul serta bertunjangkan iman yang menebal dalam jiwa para sahabat, mereka sanggup berpisah dengan kampung halaman, meninggalkan harta benda dan rela hidup berjauhan dengan orang yang dicintainya semata-mata memenuhi perintah Allah SWT. Ini menjadi pengajaran kepada kita untuk melaksanakan sesuatu amalan dalam konteks kehidupan untuk melakukan segala-gala dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT.

 

Hadis yang masyhur disebut ulama sejak berkurun lamanya berkenaan ikhlas atau niat ini bertitik tolak daripada peristiwa hijrah. Sebagaimana hadis sahih yang diriwayatkan daripada Saidina Umar ibn al-Khattab: “Setiap amalan perbuatan itu bergantung niatnya dan bagi setiap orang mendapatkan apa yang diniatkan. Barangsiapa yang niat berhijrah kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya pada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang niat hijrahnya untuk mendapatkan dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya sesuai apa yang dia niatkan” (Hadis riwayat al-Bukhari).

 

Konsep Ummah Rabbani Negara Harmoni

Menguruskan penghijrahan yang berlaku dalam masyarakat memerlukan kepada kekuatan modal insan, ilmu dan pengetahuan serta kecekapan pengurusan. Ketiga-tiga aspek ini terangkum dalam konsep ummah Rabbani yang bukan semata-mata memberi fokus kepada urusan ukhrawi bahkan ia turut memberi penekanan terhadap urusan mentadbir urus duniawi dari segenap aspek termasuklah ekonomi, politik, kesihatan, kebajikan, dan lain-lain lagi.  Realiti kehidupan Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang bangsa, Bahasa dan agama ini hakikatnya telah pun dicontohkan di zaman Nabi SAW. Komponen masyarakat majmuk dalam negara Islam yang didiami oleh orang Islam dan bukan Islam.

 

Kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Malahan Allah SWT melalui firman-Nya berbunyi : “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain.) Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Alhujurat : ayat 13)

 

Ummah Rabbani teras kekuatannya adalah modal insan yang berkualiti. Teras modal insan hakikatnya telah dinyatakan sebagai tunjang dalam kebanyakan pelan-pelan yang dibangunkan oleh kerajaan. Termasuklah ia turut diberi perhatian dalam pelan pembangunan Wawasan Kemakmuran Negara dengan meletakkan strategi transformasi modal insan dengan memberi fokus kepada penyediaan sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi.

 

Modal insan dengan nilai-nilai yang disebut di dalam pelan ini telah dirangkumkan oleh ulama terdahulu dalam gagasan insan Rabbani iaitu dengan pembangunan diri manusia yang komprehensif dan seimbang. Tiga komponen penting yang mewakili pembangunan insan Rabbani iaitu pembudayaan ilmu yang menjana keintelektualan ummah, pengukuhan pendidikan yang memantapkan spiritual modal insan, dan pengurusan serta pembangunan advokasi yang efektif untuk diaplikasikan oleh anggota masyarakat dalam menyantuni kepelbagaian bangsa, agama dan budaya di Malaysia.

 

Pembudayaan Ilmu

Pembudayaan ilmu yang sahih dan jitu ke dalam diri umat Islam dapat mengurangkan kepincangan pengamalan syariat Islam ekoran daripada ketiadaan keilmuan yang mampan. Modal insan Rabbani tidak dapat dijayakan tanpa konsep keilmuan yang dipasakkan sebagai agenda teras pembangunan ummah. Kemajuan dan keharmonian sesebuah negara terletak pada acuan dan pacuan ilmu yang dibentuk Firman Allah SWT yang bermaksud : “Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah.” Tetapi (sewajarnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala - Dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” (Surah Ali Imran : 79)

 

Petikan ayat suci ini ditafsirkan oleh ulama’ mengandungi perincian bagi insan Rabbani iaitu mereka yang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi serta berusaha menyampaikannya kepada orang lain selain berpegang teguh dengan agama Allah.

 

Pengukuhan Pendidikan

Elemen pendidikan atau tarbiah adalah nadi terhadap kelangsungan sesuatu ummat. Matlamat pendidikan adalah membentuk dan menyediakan modal insan yang mampu memikul bertanggungjawab dan mendukung nilai-nilai yang diperjuangkan.  Pendidikan rabbani adalah bersangkut paut dengan dua komponen utama terhadap penstrukturan manhaj iaitu komponen pembangunan akhlak dan komponen pembangunan spiritual. Pembangunan modal insan rabbani menuntut kepada penyemaian akhlak yang sempurna terhadap individu di samping penjanaan kecerdasan spiritual yang tinggi sehingga merasakan penjiwaan yang mendalam terhadap pengabdian diri kepada Allah SWT.

 

Pengurusan Serta Pembangunan Advokasi Yang Efektif

Hidup dalam komposisi kepelbagaian budaya, bangsa dan agama di negara ini menuntut kepada kecermatan akal fikiran dan berhemah dan tindakan. Firman Allah SWT: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah diri kepada Allah).” (Surah Fussilat : 33). Ulama’ tafsir menjelaskan ayat ini memerintahkan para muslim untuk menzahirkan keislamannya dengan berbangga terhadap Islam yang dianutinya. Dengan identiti Islam dan menjadi duta kepada agama ini, mereka menyampaikan seruan Islam kepada seluruh masyarakat dengan memberikan contoh melalui akhlak dan tauladan yang mulia dan bersifat penuh keikhlasan kepada masyarakat di sekeliling tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

 

Ketiga-tiga komponen pembangunan modal insan Rabbani ini sudah pasti akan membawa kepada keharmonian negara yang dicita-citakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Konsep negara harmoni dalam kepelbagaian ini amat berkait rapat dengan maqasid Syariah. Ini telah pun dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali sebagai maslahah yang mengambil manfaat dan menolak keburukan yang sememangnya menjadi tujuan umat manusia dan bertujuan memelihara lima perkara asas manusia iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta tanpa mengira agama, bangsa dan jantina dalam menjalani kehidupan secara bersama di bumi Malaysia ini.

 

Islam adalah ajaran yang membawa kepada keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat merentasi segala perbezaan yang ada. Kepelbagaian latar belakang merupakan satu kewajaran dalam menempuh kehidupan secara bersama yang akan memberi implikasi kepada saling melengkapi antara satu sama lain. Keharmonian negara yang terbina berteraskan modal insan Rabbani ini pastinya akan membawa kepada cita-cita tertinggi seluruh umat manusia iaitu hidup dalam negara yang sejahtera yang diampuni oleh Allah SWT.

 

 

 

 

Rujukan :

Alquran Terjemahan Pimpinan Ar-Rahman

Yusuf Al-Qaradawi, Al-Ḥayāh al-Rabbaniyyah wa al- ‘Ilm. Kaherah: Maktabah Wahbah, 1995.

Said Hawwa, Al-Asās fī al-Tafsīr. Cet. ke-7, Kaherah, 2009

Said Hawwa, Iḥyā’ al-Rabbaniyyah, Kaherah, 1984

Muhamad Alihanafiah Norasid, Mustaffa Abdullah, Konsep Modal Insan Rabbani Menurut Al-Quran, Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 2016