- Kursus Praperkahwinan Islam
- Permohonan Kebenaran Berkahwin
- Permohonan Nikah Luar Negara
- Perceraian
- Ruju’
- Khidmat Nasihat dan Aduan Masalah Kekeluargaan
- Carian Sijil Perakuan Nikah, Cerai dan Ruju’
- Lain-Lain Perkihdmatan
Adakah wajib Kursus Praperkahwinan dihadiri oleh pasangan sebelum berkahwin?
Kursus ini wajib dihadiri oleh semua warganegara Malaysia yang ingin berkahwin. Ia dikecualikan bagi pihak yang pernah berkahwin (duda, janda dan balu), teruna/dara berumur 35 tahun dan ke atas, warganegara asing dan warganegara Malaysia yang menetap di luar Negara. Pihak yang dikecualikan ini mesti menghadiri sesi temuduga perkahwinan di Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIM.
Bagaimana saya boleh mendapatkan sijil kursus praperkahwinan ? Berapakah yuran pendaftarannya dan bagaimana pembayaran dibuat?
Tuan/puan boleh mendaftarkan kursus praperkahwinan dengan cara melayari laman web www.sppim.gov.my. Pilih praperkahwinan online dan pilih daftar kursus. Tuan/puan boleh memiilih tarikh kursus yang masih kosong dan membuat pendaftaran. Selepas membuat pendaftaran, tuan/puan hendaklah membuat pembayaran sebanyak RM80.00 seorang di Pejabat MAIM Bentara Sdn. Bhd (Belakang Jakel Bukit Piatu). Pembayaran adalah dengan kadar segera dan tertakluk kepada negeri masing-masing. Jika gagal berbuat demikian pendaftaran tuan/puan boleh dibatalkan. Sebarang pertanyaan sila hubungi 06-282 1871/ 282 9360.
Apakah modul yang diterapkan dalam kursus ini?
Modul yang akan disampaikan kepada peserta adalah seperti berikut :
- Tasawwur Islam
- Perkahwinan
- Prosedur Perkahwinan
- Majlis Akad Nikah dan Walimatul urus
- Tanggungjawab Suami Isteri
- Komunikasi Suami Isteri
- Pengurusan Kewangan
- Pengurusan Kesihatan Keluarga
- Pengurusan Stress dan Konflik
- Pembubaran Perkahwinan
Saya pernah hadir kursus praperkahwinan dulu tetapi sijil saya hilang dari simpanan. Bagaimana cara untuk saya dapatkan salinan sijil tersebut ? Berapakah bayaran yang dikenakan ?
Jika tuan/puan kursus di dalam negeri Melaka, tuan/puan boleh mendapatkan salinan sijil kursus praperkahwinan dari Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JAIM dengan
cara :
- Mengisi borang carian salinan sijil kursus praperkahwinan yang boleh didapati di Bahagian Undang-undang Keluarga Islam.
- Membuat akuan sumpah di mahkamah atau pesuruhjaya sumpah dengan menyatakan tarikh kursus, tempat kursus dan punca kehilangan sijil tersebut.
- Kemudian Salinan sijil tuan/puan akan diproses dalam tempoh 3 hari bekerja.
Sekiranya saya tidak hadir 1 modul adakah saya layak menerima sijil kursus praperkahwinan?
Sijil hanya diberikan setelah anda menghadiri semua modul. Modul yang tertinggal perlu diganti pada hari yang lain dengan bayaran RM15.00 untuk 1 modul. Pendaftaran dan bayaran perlu dibuat di pejabat MAIM Bentara Sdn. Bhd.
Bolehkah saya menghadiri kursus praperkahwinan di negeri lain?
Boleh.
Berapa lamakah tempoh sahlaku sijil kursus praperkahwinan?
Sijil kursus praperkahwinan sahlaku seumur hidup. Sahlaku akan tamat untuk kegunaan perkahwinan kali pertama sahaja.
Bagaimanakah etika pakaian untuk menghadiri kursus praperkahwinan?
Pakaian sopan dan menutup aurat.
Bagaimana saya ingin memohon kebenaran berkahwin?
Permohonan berkahwin hendaklah dikemukakan secara atas talian melalui laman web www.sppim.gov.my dan klik pada “Permohonan Baru”. Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) ini dibangunkan oleh JAKIM dan digunakan oleh 6 buah negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Perlis, Kedah dan Perak. Pemohon yang perlu mengisi permohonan berkahwin melalui sistem ini iaitu :
- Pemohon lelaki dan perempuan bermastautin di negeri yang menggunakan SPPIM.
- Salah seorang sama ada lelaki atau perempuan yang bermastautin di negeri SPPIM.
- Pemohon lelaki atau perempuan bukan bermastautin di negeri SPPIM tetapi tempat pernikahan di negeri SPPIM.
Permohonan tersebut hanya perlu diisi oleh salah seorang sahaja. Setelah lengkap, permohon hendaklah mencetak borang dan senarai semak serta mengikut arahan yang disertakan. Sila pastikan pemohon, wali dan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’/Jurunikah/Imam 1 / Imam 2 menandatangani pada ruangan yang ditetapkan sebelum dihantar ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di mana kariah pemohon tinggal.
Sekiranya alamat saya pada kad pengenalan bukan di Melaka, bagaimana saya ingin membuat permohonan kebenaran berkahwin di Melaka?
Pemohon boleh mengemaskini alamat bermastautin di Melaka seperti berikut:
1. Menukar alamat pada fizikal kad pengenalan; atau
2. Mengemaskini alamat pada kandungan cip kad pengenalan; atau
3. Mendapatkan pengesahan bermastautin daripada Penolong Pendaftar NCR / Jurunikah / Imam 1 dan Imam 2.
Apakah dokumen yang diperlu disertakan untuk memohon kebenaran berkahwin?
Dokumen yang diperlukan berdasarkan kepada status diri pemohon sama ada teruna, dara, janda/balu, duda, waragenagara Malaysia atau bukan warganegara.
Namun begitu, secara asasnya dokumen yang perlu disertakan adalah seperti berikut :
- Borang permohonan untuk kebenaran berkahwin (2 salinan)
- Kad pengenalan pemohon (asal dan 2 salinan)
- Kad pengenalan pemohon / passport pasangan (2 salinan)
- Sijil kelahiran, Jika tiada kad pengenalan (Asal dan 2 salinan)
- Pengesahan Ujian Saringan HIV dari Klinik Kesihatan Kerajaan dalam Malaysia (Asal)
- Sijil kursus Praperkahwinan berdasarkan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) (Asal dan 1 salinan)
Nota :
(Duda/janda/balu, teruna dan dara berumur 35 tahun ke atas dan poligami dengan kebenaran mahkamah yang dikecualikan daripada menghadiri Kursus Praperkahwinan, perlu mengemukakan Sijil Temuduga Perkahwinan)
- Kad pengenalan wali (2 salinan)
- Surat perakuan nikah atau surat perakuan cerai ibu/bapa yang terdapat tarikh nikah (1 salinan)
- Sijil/surat/kad akuan menganut Islam. Pengesahan & pendaftaran di Jabatan Agama/Majlis Agama Islam jika memeluk Islam di Luar Negara (jika berkenaan) (Asal dan 1 salinan)
- Kebenaran majikan jika Polis atau Tentera (Asal)
- Surat pengesahan mastautin jika alamat dalam Kad Pengenalan bukan dari daerah/negeri tempat permohonan (Asal)
- Surat kebenaran Mahkamah Syariah bagi pemohon bawah umur / tiada wali / wali enggan (asal)
- Surat kebenaran berkahwin dari pasangan jika pasangan ingin berkahwin di kariah pemohon perempuan luar kariah/negeri/Negara (Asal)
- Surat wakalah wali (jika berwakil wali) (Asal)
- Sijil kematian bapa atau datuk / Sijil kematian wali jika bukan wali mujbir (bapa dan datuk sebelah bapa) (1 salinan)
- Gambar berukuran passport bagi lelaki bersongkok dan perempuan bertudung. (2 keping setiap seorang)
Adakah saringan ujian HIV yang telah dilakukan di luar Negara digunapakai di sini?
Hanya saringan ujian HIV yang dilakukan di Klinik Kesihatan kerajaan Malaysia atau Poliklinik kerajaan dalam Malaysia sahaja yang diiktiraf. Sekiranya pemohon pernah menjalani ujian tersebut di luar Negara, dia perlu menjalani semula saringan di Malaysia.
Waktu operasi di Klinik Kesihatan daerah Melaka Tengah pada hari Selasa, Rabu dan Khamis jam 2.30 petang.
Bagaimana pula jika berkahwin dengan warganegara asing, adakah perlu dia menjalani saringan HIV?
Ya, memang perlu warganegara asing yang berkahwin dengan warganegara menjalani saringan HIV.
Berapa lama tempoh saringan ujian HIV boleh digunakan?
Tempoh sah laku selama 6 bulan dari tarikh saringan dilakukan dan borang boleh didapati bersama permohonan kebenaran berkahwin atas talian www.sppim.gov.my atau secara manual di Pejabat Agama Islam Daerah atau di Bahagian Undang-undang Keluarga Islam.
Adakah Sijil nikah ibubapa dan sijil kelahiran perempuan perlu disertakan semasa permohonan kebenaran berkahwin?
Ya, memang wajib disertakan dokumen tersebut bagi pemohon perempuan, bagi mengesahkan status wali sebenar. Wali menjadi rukun nikah dan jika tiada wali, pernikahan yang dijalankan tidak sah menurut hukum syarak.
Bagi yang kehilangan sijil nikah ibubapa, carian perlu dilakukan di mana ibubapa bernikah dahulu. Jika tiada, akuan berkanun perlu dilakukan di mana-mana Mahkamah atau Pejabat Pesuruhjaya Sumpah.
Bagaimana untuk dapatkan perintah mahkamah untuk wali hakim bagi anak yang tidak sah taraf / muallaf / wali enggan / wali tidak mempunyai nasab / wali ghaib?
Pemohon hendaklah membuat permohonan di PAID. Pemohon diminta untuk membawa :
- salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan,
- salinan kad pengenalan saksi,
- salinan sijil nikah ibu bapa,
- salinan sijil pengangkatan anak angkat,
- salinan kad memeluk Islam
Setelah berpuas hati PAID akan mengeluarkan surat sokongan untuk dibawa dan disahkan di Mahkamah Syariah yang berdekatan dan perintah mahkamah tersebut hendaklah disertakan bersama dengan permohonan kebenaran berkahwin.
Berapa lama tempoh boleh saya dapatkan sijil dan kad nikah?
Tempoh maksimum yang ditetapkan iaitu 30 hari bekerja dari tarikh pernikahan didaftarkan di dalam SPPIM oleh PAID bukan dari tarikh nikah.
Bagaimana prosedur untuk perkahwinan bawah umur?
Pemohon lelaki berumur 18 tahun ke bawah dan pemohon perempuan berumur 16 tahun ke bawah hendaklah mendapatkan perintah mahkamah syariah terlebih dahulu.
Pemohon hendaklah membuat permohonan di PAID terlebih dahulu dengan membawa :
- salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan,
- salinan kad pengenalan saksi,
- salinan sijil kelahiran pemohon
Berapa tempoh masa yang dikira sebagai bermastautin?
Tinggal bermastautin di sesuatu tempat melebihi 3 bulan
Berapa kadar bayaran bagi permohonan kebenaran berkahwin?
Bayaran bagi permohonan berkahwin sebanyak RM 10.00 bagi permohonan bersekali lelaki dan perempuan. Manakala bagi permohonan kebenaran lelaki berasingan dari perempuan, bayaran dikenakan atas permohonan tersebut.
Apakah prosedur permohonan poligami?
Pemohon hendaklah terus ke Mahkamah Tinggi Syariah bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk kebenaran poligami. Borang permohonan poligami boleh didapati secara atas talian www.mahsyariahmelaka.gov.my atau di kaunter Mahkamah Tinggi Syariah.
Siapakah yang perlu hadir temuduga perkahwinan?
Bagi pihak yang pernah berkahwin iaitu duda, janda dan balu, teruna dan dara berumur 35 tahun ke atas, poligami dengan kebenaran mahkamah, pernikahan tergempar/bermasalah dan kategori lain-lain atas budi bicara Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ dikecualikan dari menghadiri Kursus Praperkahwinan Islam tetapi dikehendaki menghadiri temuduga di Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIM.
Bayaran sebanyak RM 50.00 dikenakan kepada pemohon.
Saya bercadang akan berkahwin dengan warganegara asing di luar negara, bagaimana prosedur perkahwinan yang perlu saya patuhi?
Sebelum bernikah :
- Dapatkan Surat Kebenaran Berkahwin dari PAID dan simpan 2 salinan surat tersebut.
- Surat Kebenaran Berkahwin yang asal hendaklah dikemukakan kepada Kedutaan Besar Malaysia di mana pernikahan dilangsungkan dari pihaknya sebelum diserahkan kepada Jurunikah berkenaan.
Semasa bernikah :
- Isikan borang Pengesahan Wali, Jurunikah, Saksi 1, Saksi 2, Wali Hakim yang disertakan semasa pernikahan dijalankan.
- Sediakan sekeping gambar majlis akad nikah
Selepas bernikah :
- Sediakan salinan Keterangan Nikah dari Kantor Urusan Agama Indonesia (contoh : Model N1, N2, N3, N4, N7 dan Dokumen Daftar Nikah) Indonesia sahaja.
- Pastikan pemohon dan pasangan mendapat Buku Nikah/Sijil Nikah/Dokumen-dokumen berkaitan pernikahan dari Negara berkenaan.
- Sediakan dokumen di atas dan hantar semula ke PAID.
- Semakan akan dibuat ke atas semua dokumen termasuk Buku Nikah Suami dan Isteri (Indonesia)/Sijil Nikah/Dokumen-dokumen berkaitan pernikahan serta passport
Antarabangsa yang asal.
- Buku Nikah Suami dan Isteri hendaklah disahkan di Kedutaan Republik Indonesia di Malaysia (surat kdikeluarkan oleh Pejabat Agama)
sebelum dokumen yang lain suami dan isteri, Senarai Semak Dokumen Pendaftaran Pernikahan, Borang 7 dan 8 diserah kepada pemohon.
- Buku/sijil Nikah Suami dan Isteri hendaklah disahkan di Kedutaan Republik Pemohon di Malaysia (kecuali Kedutaan Republik Indonesia di Malaysia) surat tidak dikeluarkan
oleh Pejabat Agama. Pemohon dikehendaki membuat pengesahan Buku Nikah/Sijil Nikah yang diperolehi dari Negara pemohon terus ke Kedutaan Malaysia.
- Pembayaran sebanyak RM 100.00 dikenakan bagi pemprosesan sijil nikah dan tempoh pengambilan sijil nikah selama 14 hari waktu bekerja selepas pembayaran dibuat.
Saya telah bernikah melalui sindiket/ berlawanan undang-undang dan tidak pernah mendaftarkan perkahwinan di Malaysia. Sekarang saya telah bercerai dengan suami dan akan berkahwin lain. Bagaimana saya boleh membuat permohonan berkahwin sedangkan semua dokumen perkahwinan terdahulu disimpan oleh bekas suami?
Bagi perkahwinan yang berlawanan dengan peraturan, pemohon perlu melalui PAID dengan mengemukakan dokumen berikut :
- Salinan kad pengenalan suami
- Salinan kad pengenalan isteri
- Sijil nikah asal dan salinan
- Salinan passport antarabangsa suami (bukti perjalanan)*
- Salinan passport antarabangsa isteri (bukti perjalanan)*
- Surat pengesahan kedutaan/Pesuruhjaya Tinggi dan resit
- Terjemahan Sijil NIkah (yang diperakui oleh kedutaan / pihak yang diiktiraf)
- Dokumen memeluk Islam
- Sijil Nikah isteri-isteri yang sedia ada
- Pengesahan Majikan.Sidang/Pengerusi JKKK (bermastautin)
- Surat keterangan Wali Hakim
- Nama saksi akad nikah
- Sijil cerai *
Dokumen yang diperlukan dari Mahkamah Syariah untuk disertakan dengan permohonan di atas seperti berikut :
- Surat perintah mahkamah
- Surat keterangan Saksi akad nikah*
- Maklumat sokongan perjalanan*
Nota : dokumen yang bertanda * adalah mana yang berkaitan sahaja.
Apakah dokumen yang perlu saya lampirkan untuk kebenaran berkahwin warganegara asing dengan warganegara Malaysia?
Warganegara Malaysia :
- Permohonan boleh dikemukakan dalam tempoh 3 bulan atau selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh cadangan pernikahan.
- Borang Permohonan Kebenaran Nikah (Borang 1) yang telah lengkap diisi dan ditandatangani oleh imam kariah/ Penolong Pendaftar pihak lelaki dan perempuan.
- Bayaran proses kebenaran Nikah sebanyak RM 10.00.
- Serahkan permohonan ke PAID setelah pasangan menyelesaikan dokumen-dokumen seperti di bawah.
Warganegara Asing:
- Surat Kebenaran Nikah daripada Pihak Berkuasa Agama di Negara Pemohon (Asal dan 1 salinan)
- Surat Kebenaran dari Kedutaan Negara pemohon yang berada di Negara Malaysia (Asal dan 1 salinan)
- Jika pemohon adalah seorang wanita, pemohon hendaklah memastikan kehadiran wali atau surat wakalah wali (wakil wali) dari pihak berkuasa agama Negara pemohon
(Asal dan 1 salinan)
- Surat pengesahan dokumen passport antarabangsa pemohon. (Surat akan dikeluarkan oleh PAID untuk dibawa ke Jabatan Imigresen Malaysia.
- Salinan passport pemohon dibesarkan saiz 150% (2 salinan)
- Salinan kad pengenalan pasangan dibesarkan saiz 150% (2 salinan)
- Borang Saringan Pemeriksaan HIV
Suami telah melafazkan talaq melalui media social / mesej / lafaz secara lisan, apa tindakan yang boleh saya buat?
Pemohon hendaklah ke Mahkamah Syariah untuk membuat permohonan pengesahan lafaz cerai. Setelah mendapat perintah perceraian dari mahkamah, pemohon hendaklah mendaftarkan perceraian di PAID mengikut daerah yang telah diperintahkan oleh mahkamah.
Bagaimana tempoh iddah dikira?
Tempoh iddah dikira mengikut situasi isteri yang diceraikan samada dalam keadaan suci, haid atau mengandung, telah bersetubuh atau tidak. Sila rujuk GARIS PANDUAN BERIDDAH BAGI WANITA YANG BERCERAI ATAU KEMATIAN SUAMI di laman web www.islam.gov.my
Bilakah sijil perakuan perceraian dikeluarkan?
Sijil perakuan perceraian akan dikeluarkan setelah tamat tempoh iddah isteri. Ini supaya tidak berlaku pasangan tersebut bernikah dengan orang lain dalam tempoh iddah.
Sekiranya telah melafazkan cerai kepada isteri di luar mahkamah, bolehkah melakukan ruju’ tanpa melalui mahkamah?
Pemohon hendaklah mendapatkan pengesahan mahkamah berkaitan lafaz cerai. Kemudian bolehlah ruju’ dibuat di PAID. Pemohon dan pasangan diminta hadir bersama 2 orang saksi lelaki.
Bolehkan pihak Pejabat Agama Islam Daerah menerima ruju’ saya dengan isteri walaupun selepas habis tempoh iddah?
Tidak boleh. Pasangan perlu bernikah semula dengan akad nikah yang baru.
Bagaimana ruju’ didaftarkan? Apakah dokumen yang perlu disertakan?
Pemohon dan pasangan perlu membawa perintah mahkamah berkaitan dengan rekod perceraian bersama 2 orang saksi lelaki ke PAID. Pemohon hendaklah membawa dokumen berikut :
- Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan
- Salinan kad pengenalan 2 orang saksi
- Bayaran sebanyak RM 10.00 untuk proses ruju’ termasuk surat perakuan ruju’ adalah sebanyak RM10.00 yang akan dikeluarkan dalam tempoh 7 hari bekerja.
Suami mengabaikan nafkah dan tanggungjawab pada saya dan anak-anak, apakah tindakan yang wajar saya lakukan untuk saya mendapatkan hak?
Pemohon hendaklah ke PAID/ Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JAIM untuk mendapatkan khidmat nasihat/rundingcara sebelum tindakan selanjutnya.
Sekiranya saya dipukul atau dicederakan oleh pasangan, apakah tindakan yang boleh saya lakukan?
Mangsa hendaklah membuat laporan perubatan di klinik/hospital kerajaan dan laporan polis dengan segera serta membuat aduan di PAID/ Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam.
Bagaimana keadaan yang membolehkan pihak suami atau isteri memohon fasakh?
Merujuk kepada Seksyen 53 di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002,
Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh atas mana-mana satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu-
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami atau isteri telah dihukum pemenjaraan selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, iaitu, antara lain-
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undangundang terhadap harta itu;
(v) menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isterinya secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;
(i) bahawa walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan disetubuhi;
(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau apa-apa hal keadaan lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi izin yang sah, ialah seorang yang sakit mental, sama ada berterusan atau berselangan, mengikut pengertian Ordinan Sakit Mental 1952 [Ord.31/52] dan sakit mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
(1) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
(2) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan.
(3) Tiada perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah menjadi muktamad dan suami atau isteri telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.
(4) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh satu tahun dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada perintah boleh dibuat atas alasan itu.
(5) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku sedemikian terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.
Berapa lamakah tempoh sesi khidmat nasihat dijalankan?
Tempoh yang akan diambil untuk sesi khidmat nasihat adalah antara 30 minit hingga 1 jam bergantung kepada permasalahan yang diadukan.
Bagaimana untuk mendapatkan salinan sijil nikah yang hilang?
Pemohon yang terdiri daripada diri sendiri atau pasangan atau anak yang ada pertalian keluarga, boleh melakukan carian sijil nikah, cerai dan ruju’. Lokasi untuk untuk carian sijil tersebut adalah seperti berikut :
Tahun | Daftar | Lokasi |
1961 dan ke bawah | Sijil Nikah, Cerai dan Ruju’ | Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIM |
1962 – 2009 | Sijil Nikah bagi daerah Melaka Tengah | |
1962 dan ke atas | Sijil Cerai dan Sijil Ruju’ bagi daerah Melaka Tengah | Pejabat Agama Islam Daerah Melaka Tengah |
2010 ke atas | Sijil Nikah bagi daerah Melaka Tengah | |
1962 dan ke atas | Sijil Nikah, Cerai dan Ruju’ bagi daerah Alor Gajah dan Jasin | - Pejabat Agama Islam Daerah Alor Gajah - Pejabat Agama Islam Daerah Jasin |
Jika sijil nikah, cerai atau ruju’ saya ada berlaku kesilapan ejaan nama atau kesilapan nombor kad pengenalan, apa yang perlu saya buat?
Sekiranya maklumat ejaan nama, nombor kad pengenalan silap atau apa-apa maklumat lain di dalamnya perlu dibetulkan, sila buat permohonan membetulkan kesilapan kepada pejabat pengeluar sijil tersebut.
Sila bawa bersama Akuan Berkanun/Bersumpah pertukaran maklumat tersebut. Jika melibatkan pembetulan nombor kad pengenalan, dapatkan pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara yang terdekat.
Tiada bayaran yang dikenakan.
Di manakah boleh dapatkan pengesahan sijil nikah bagi tujuan haji atau umrah?
Pemohon boleh membawa sijil nikah yang asal dan salinan sijil nikah sekurang-kurangnya 1 helai atau maksimum 5 helai untuk pengesahan di Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIM atau mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan.
Bagaimana tuntutan semula pemberian semasa bertunang boleh dilakukan?
Berdasarkan seksyen 15 di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 berkaitan dengan tuntutan pertunangan. Mana-mana pertunangan yang dibubarkan dan mempunyai bukti secara bertulis, boleh dituntut oleh pihak satu lagi. Permohonan tuntutan boleh terus dibuat ke Mahkamah Syariah.
Di mana aduan berkaitan perkhidmatan nikah, cerai dan ruju’ boleh dibuat?
Sebarang aduan boleh dikemukakan terus ke Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIM atau PAID yang berdekatan sama ada melalui surat bertulis atau facebook JAIM atau talian telefon.
Berapakah kadar maskahwin yang ditetapkan di Melaka? Bolehkah nilai tersebut dikurangkan atau dilebihkan?
Sejak tahun 2016, maskahwin di Melaka telah diselaraskan sebanyak RM 100.00, walaubagaimanapun, tiada halangan kepada pihak lelaki untuk memberi lebih ataupun kurang dari nilai tersebut.
Berapakah kadar upah nikah yang telah ditetapkan oleh JAIM?
Upah nikah yang telah ditetapkan berkuatkuasa pada 1 Jun 2016 sebanyak RM 150.00 dan pembahagian upah tersebut adalah seperti berikut :
- Imam 1 - RM 50.00
- Imam 2 - RM 35.00
- Imam 3 - RM 25.00
- Bilal - RM 20.00
- Noja - RM 20.00